Setelah
pelbagai usaha oleh kaum Quraisy untuk menyekat dan menghapuskan penyebaran
agama Islam menemui kegagalan, maka Abu Jahal semakin benci terhadap Rasulullah
Shallallahu Alaihi wa Sallam. Kebencian Abu Jahal ini tidak ada tolok
bandingnya, malah melebihi kebencian Abu Lahab terhadap Rasulullah Shallallahu
Alaihi wa Sallam.
Melihatkan
agama Islam semakin tersebar, Abu Jahal pun berkata kepada kaum Quraisy di
dalam suatu perhimpunan, "Hai kaumku! Janganlah
sekali-kali membiarkan Muhammad menyebarkan ajaran barunya dengan sesuka
hatinya. Ini adalah kerana dia telah menghina agama nenek moyang kita, dia
mencela tuhan yang kita sembah. Demi Tuhan, aku berjanji kepada kamu sekalian,
bahwa esok aku akan membawa batu ke Masjidil Haram untuk dibalingkan ke kepala
Muhammad ketika dia sujud. Selepas itu, terserahlah kepada kamu semua samada
mahu menyerahkan aku kepada keluarganya atau kamu membela aku dari ancaman kaum
kerabatnya. Biarlah orang-orang Bani Hasyim bertindak apa yang mereka
sukai."
Tatkala mendengar jaminan daripada Abu Jahal, maka orang
ramai yang menghadiri perhimpunan itu berkata secara serentak kepadanya,
"Demi Tuhan, kami tidak akan sekali-kali menyerahkan engkau kepada
keluarga Muhammad. Teruskan niatmu."
Orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu merasa bangga
mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Abu Jahal bahwa dia akan menghapuskan
Muhammad kerana jika Abu Jahal berjaya menghapuskan Nabi Muhammad Shallallahu
Alaihi wa Sallam bererti akan terhapuslah segala keresahan dan kesusahan mereka
selama ini yang disebabkan oleh kegiatan Rasulullah Shallallahu Alaihi wa
Sallam menyebarkan agama Islam di kalangan mereka.
Dalam pada itu, terdapat juga para hadirin di situ telah
mengira-ngira perbelanjaan untuk mengadakan pesta sekiranya Nabi Muhammad
Shallallahu Alaihi wa Sallam berjaya dihapuskan. Pada pandangan mereka adalah
mudah untuk membunuh Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi wa Sallam yang dikasihi
oleh Tuhan Yang Maha Esa serta sekalian penghuni langit. Padahal Allah tidak
akan sekali-kali membiarkan kekasih-Nya diancam dan diperlakukan seperti
binatang.
Dengan perasaan bangga, keesokan harinya di sebelah pagi,
Abu Jahal pun terus pergi ke Kaabah yiaitu tempat biasa Nabi Muhammad
Shallallahu Alaihi wa Sallam bersembahyang. Dengan
langkahnya seperti seorang satria, dia berjalan dengan
membawa seketul batu besar di tangan sambil diiringi oleh beberapa orang
Quraisy yang rapat dengannya. Tujuan dia mengajak kawankawannya ialah untuk
menyaksikan bagaimana nanti dia akan menghempapkan batu itu di atas kepala Nabi
Muhammad Shallallahu Alaihi wa Sallam.
Sepanjang perjalanan itu dia membayangkan bagaimana keadaan
Nabi Muhammad nanti setelah kepalanya dihentak oleh batu itu. Dia tersenyum
sendirian apabila membayangkan kepala Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi wa
Sallam pecah dan tidak bergerak lagi. Dan juga membayangkan bagaimana kaum
Quraisy akanmenyambutnya sebagai pahlawan yang telah berjaya membunuh musuh
nombor satu mereka. Sebaik saja Abu Jahal tiba di perkarangan Masjidil Haram,
dilihatnya Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam baru saja sampai dan hendak
mengerjakan sembahyang. Dalam pada itu, Nabi
Muhammad Shallallahu Alaihi wa Sallam tidak menyedari akan kehadiran Abu
Jahal dan kawankawannya di situ. Baginda tidak pernah terfikir apa yang hendak
dilakukan oleh Abu Jahal terhadap dirinya pada hari itu.
Sebaik-baik saja Abu Jahal melihat Rasulullah Shallallahu
Alaihi wa Sallam telah mula bersembahyang, dia berjalan perlahan-lahan dari
arah belakang menuju ke arah Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi wa Sallam. Abu
Jahal melangkah dengan berhati-hati, setiap pergerakannya dijaga, takut
disadari oleh baginda.
Dari jauh kawan-kawan Abu Jahal memerhatikan dengan
perasaan cemas bercampur gembira. Dalam hati mereka berkata, "Kali ini
akan musnahlah engkau hai Muhammad."
Sebaik saja Abu Jahal hendak menghampiri Nabi Muhammad
Shallallahu Alaihi wa Sallam dan menghayun batu yang dipegangnya itu, tiba-tiba
secepat kilat dia berundur ke belakang. Batu yang dipegangnya juga jatuh ke
tanah. Mukanya yang tadi merah kini menjadi pucat lesi seolaholah tiada
berdarah lagi. Rakan-rakannya yang amat ghairah untuk melihat Nabi Muhammad Shallallahu
Alaihi wa Sallam terbunuh, tercengang dan saling berpandangan.
Kaki Abu Jahal seolah-olah terpaku ke bumi. Dia tidak dapat melangkahkan kaki walaupun setapak.
Melihatkan keadaan itu, rakan-rakannya segera menarik Abu Jahal dari situ
sebelum disadari oleh baginda. Abu Jahal masih terpinga-pinga dengan kejadian
yang dialaminya. Sebaik saja dia sedar dari kejutan peristiwa tadi,
rakan-rakannya tidak sabar untuk mengetahui apakah sebenarnya yang telah
berlaku. Kawannya bertanya, "Apakah sebenarnya yang terjadi kepada engkau,
Abu Jahal? Mengapa engkau tidak menghempapkan batu itu ke kepala Muhammad
ketika dia sedang sujud tadi?"
Akan tetapi Abu Jahal tetap membisu, rakan-rakannya semakin
keheranan. Abu Jahal yang mereka kenali selama ini seorang yang lantang
berpidato dan menyumpah seranah Nabi Shallallahu Alaihi wa Sallam, tiba-tiba
saja diam membisu.
Dalam pada itu, Abu Jahal masih terbayang-bayang akan kejadian
yang baru menimpanya tadi. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang
dilihatnya, malah dia sendiri tidak menyangka perkara yang sama akan berulang
menimpa dirinya.
Perkara yang sama pernah menimpa Abu Jahal sewaktu
Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam pergi ke rumah Abu Jahal apabila
seorang Nasrani mengadu kepada baginda bahwa Abu Jahal telah merampas hartanya.
Pada masa itu Abu Jahal tidak berani berkata apa-apa pada baginda apabila dia
terpandang dua ekor harimau menjadi pengawal peribadi Rasulullah Shallallahu Alaihi
wa Sallam.
Kemudian setelah habis mereka menghujani Abu Jahal dengan
pelbagai soalan, maka Abu Jahal pun mula bersuara, "Wahai sahabatku! Untuk
pengetahuan kamu semua, sebaik saja aku menghampiri Muhammad hendak
menghempapkan batu itu ke kepalanya, tiba-tiba muncul seekor unta yang besar
hendak menendang aku. Aku amat terkejut kerana belum pernah melihat unta yang
sebegitu besar seumur hidupku. Sekiranya aku teruskan niatku, nescaya akan
matilah aku ditendang oleh unta itu, sebab itulah aku berundur dan membatalkan
niatku." Rakan-rakan Abu Jahal berasa amat kecewa mendengar penjelasan
itu, mereka tidak menyangka orang yang selama ini gagah dan beria-ia hendak
membunuh Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi wa Sallam hanya tinggal kata-kata
saja. Orang yang selama ini diharapkan boleh menghapuskan Nabi Muhammad
Shallallahu Alaihi wa Sallam dan pengaruhnya hanya berupaya bercakap seperti
tin kosong saja.
Setelah mendengar penjelasan dari Abu Jahal yang tidak
memuaskan hati itu, maka mereka pun berkata kepada Abu Jahal dengan perasaan
keheranan, "Ya Abu Jahal, semasa kau menghampiri Muhammad tadi, kami
memerhatikan engkau dari jauh tetapi kai tidak napak akan unta yang engkau
katakan itu. Malah bayangnya pun kami tidak nampak."
Rakan-rakan Abu Jahal mula sangsi dengan segala keterangan
yang diberikan oleh Abu Jahal. Mereka menyangka Abu Jahal sentiasa mereka-reka
cerita yang karut itu, mereka mula hilang kepercayaan terhadapnya. Akhirnya segala kata-kata Abu Jahal mereka tidak berapa
endahkan lagi.
No comments:
Post a Comment