Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman
Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya
mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun
berkata, 'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya
dibiarkan berjalan kaki."
Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka
Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu.
Melihat yang demikian, maka orang di passar itu berkata pula, "Lihat orang
tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang
adab anak itu."
Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik
ke atas belakang himar itu bersamasama dengan anaknya. Kemudian orang ramai
pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah
sungguh menyiksakan himar itu."
Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka
Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang
berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak
dikenderai."
Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah,
Luqman Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah
mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari
percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan
melainkan kepada Allah S.W.T saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang
menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."
Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya,
"Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi
fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga
perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah
tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya),
dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka
merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."
No comments:
Post a Comment