Pada suatu hari ketika 'Uzair memasuki kebunnya yang
menghijau dengan pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta
tertarik untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini. Sesudah
memetik buah-buahan dia pulang dengan keldainya sambil menikmati
keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya
tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahwa dia telah berada di
suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya
sendiri.
Sebaik saja dia sampai ke daerah itu dilihatnya kampung itu
baru saja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak-binasa sama sekali.
Di tapak atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat manusia yang bergelimpangan
yang sudah busuk serta hancur. Melihatkan pemandangan yang mengerikan itu, dia
pun turun dari keldainya dengan membawa dua keranjang buah-buahan. Manakala
keldainya itu ditambat di situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding
sebuah rumah yang sudah runtuh bagi melepaskan penatnya. Dalam pada itu,
fikirannya mula memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.
"Bagaimana orang-orang yang sudah mati dan hancur itu
akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?" begitulah
pertanyaan yang datang bertalu-talu da tidak terjawab olehnya sehingga dia
menjadi lemah-longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu, dia
seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah
meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau semalam,
tetapi dia telah tidur terus-menerus tanpa bangun-bangun selama seratus tahun
lamanya.
Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah
ramai lapisan baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan.
Dalam masa seratus tahun itu, segala-galanya sudah berubah, manakal 'Uzair
tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh) yang
tidak bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur
lebur berderai. Kemudian jasad 'Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya
yang sudah hancur itu disusun kembali oleh Allah pada bahagiannya masing-masing
lalu ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga 'Uzair hidup kembali seperti dahulu.
'Uzair terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur lantas dia mencari
keldai dan buah-buahannya di dalam keranjang dahulu.
Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat
seraya bertanya, "Tahukah engkau ya 'Uzair berapa lama engkau tidur?"
Tanpa berfikir panjang 'Uzair menjawab, "Saya tertidur sehari dua ataupun
setengah hari." Lalu malaikat pun berkata kepadanya, "Bahwa engkau
terdampar di sini genap seratus tahun lamanya. Disinilah engkau berbaring,
berhujan dan berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai dan berhawa sejuk
dan juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan engkau tetap baik
keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dia sendiri
pun sudah hancur dan dagingnya sudah busuk."
Berkata malaikat lagi, "Lihatlah dan perhatikanlah
sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan Allah. Allah dapat menghidupkan kembali
orang yang sudah mati dan mengembalikan jasadjasad yang sudah hancur lebur dan
dengan semudah itu pulalah Tuhan akan membangkitkan semua manusia yang sudah
mati itu nanti di akhirat untuk diperiksa dan diadili segala perbuatannya. Hal
ini diperlihatkan oleh Tuhan kepada engkau supaya iman engkau tetap dan engkau
sendiri dapat menjadi bukti kepada manusia-manusia lain supaya engkau dan
manusia-manusia lain tiada syak dan ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan
Tuhan tentang akhirat itu."
Setelah 'Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah
hancur itu, maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah saya bahwa Allah
itu adalah berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu." Tiba-tiba keldai yang
sudah hancur berderai itu dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya.
Dan akhirnya menjadi seperti sediakala iaitu hidup kembali bergerak-gerak dan
berdiri sebagaimana sebelum mati. Maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang
tahulah saya bahwa Allah berkuasa di atas segala-galanya." Lalu dia pun
terus mengambil keldainya dahulu dan terus menunggangnya pulang ke rumahnya
dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali. Dilihatnya segala-gala
telah berubah. Dia cuba mengingati apa yang pernah dilihatnya seratus tahun
dahulu. Setelah menempuhi berbagai kesukaran, akhirnya dia pun sampai ke
rumahnya. Sebaik saja dia sampai di situ, dia mendapati rumahnya sudah pun
buruk di mana segala dinding rumahnya telah habis runtuh. Semasa dia memandang
keadaan sekeliling rumahnya, dia ternampak seorang perempuan tua, lantas dia
pun bertanya, "Inikah rumah tuan 'Uzair?"
"Ya," jawab perempuan itu. "Inilah rumah
'Uzair dahulu, tetapi 'Uzair telah lama pergi dan tiada didengar berita
tentangnya lagi sehingga semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah
menyebut namanya selain kali ini saja." Kata perempuan itu sambil
menitiskan airmata.
'Sayalah 'Uzair," jawab 'Uzair dengan pantas.
"Saya telah dimatikan oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan sekrang saya
sudah dihidupkan oleh Allah kembali." Perempuan tua itu terkejut seakan-akan
tidak percaya, lalu dia pun berkata, "'Uzair itu adalah seorang yang
paling soleh, doanya selalu dimakbulkan oleh Tuhan dan telah banyak jasanya di
dalam menyembuhkan orang yang sakit tenat." Sambunya lagi, "Saya ini
adalah hambanya sendiri, badan saya telah tua dan lemah, mata saya telah pun
buta kerana selalu menangis terkenangkan 'Uzair. Kalaulah tuan ini 'Uzair maka
cubalah tuan doakan kepada Tuhan suaya mata saya terang kembali dan dapat melihat
tuan."
"Uzair pun mendaha kedua belah tangannya ke langit
lalu berdoa ke hadrat Tuhan. Tiba-tiba mata orang
rua itupun terbuka dan dapat melihat dengan lebih terang lagi. Tubuhnya yang
tua dan lemah itu kembali kuat seakan-akan kembali muda. Setelah merenung wajah
'Uzair dia pun berkata, "Benar, tuanlah 'Uzair. Saya masih ingat."
Hambanya itu terus mencium tangan 'Uzair lalu keduanya pergi mendapatkan orang
ramai, bangsa Israil. 'Uzair memperkenalkan dirinya bahwa dialah 'Uzair yang
pernah hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.
Berita itu bukan saja mengejutkan bangsa Israil, tetapi ada
juga meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya. Walau bagaimanapun berita
itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana
itu mereka ingin menguji kebenaran 'Uzair. Kemudian datanglah anak kandungnya
sendiri seraya bertanya, "Saya masih ingat bahwa bapa saya mempunyai tanda
di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah dia 'Uzair."
Tanda itu memang ada pada 'Uzair, lalu percayalah sebahagian daripada mereka.
Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata, maka mereka berkata
kepada 'Uzair, "Bahwa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke atas bangsa dan
negara Israil dan setelah tentera tersebut membakar kitab suci Taurat, maka
tiadalah seorang pun bani Israil yang hafal isi Taurat kecuali 'Uzair saja.
Kalau benarlah tuan Uzair, cubalah tuan sebutkan isi Taurat yang betul."
'Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih
dan lancar serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan
itu barulah mereka percaya bahwa sungguh benar itulah 'Uzair. Ketika itu, semua
bangsa Israil punpercaya bahwa dialah 'Uzair yang telah mati dan dihidupkan
semual oleh Tuhan. Banyak di antara mereka yang bersalam dan mencium tangan
'Uzair serta meminta nasihat dan panduan daripadanya.
Tetapi sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh
menganggap 'Uzair sebagai anak Tuhan pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak
samada 'Uzair mahupun Isa kerana semua makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka.
Janganlah kita was-was tentang kekuasaan Allah, maka hendaklah dia fikir
siapakah yang menciptakan dirinya itu. Adalah mustahil sesuatu benda itu
terjadi dengan sendirinya tanpa ada yang menciptakan. Kalau masih ada orang
yang ragu-ragu tentang kekuasaan Allah, ubatnya hanya satu saja, hendaklah dia
membaca dan memahami al-Qur'an, was-was terhadap kekuasaan Allah itu hanya
datangnya dari syaitan.
Allah S.W.T telah meletakkan komputer dalam kepala kita
untuk berfikir, oleh itu gunakanlah akal kita untuk berfikir.
No comments:
Post a Comment